USMS Sdn Bhd Sertai Program Sua Muka Bersama Penduduk Kampung Birau, Luagan Timbaran dan Kebia

04-06-2025

USMS Sdn Bhd Sertai Program Sua Muka Bersama Penduduk Kampung Birau, Luagan Timbaran dan Kebia

Tutong, 3 Jun 2025 – USMS Sdn Bhd telah menyertai Program Sua Muka anjuran Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Cawangan Daerah Tutong yang berlangsung di Pusat Kemasyarakatan Kampung Birau, Mukim Kiudang. Program ini merupakan salah satu inisiatif untuk menyampaikan maklumat berkaitan isu-isu semasa dan dasar kerajaan kepada penduduk setempat, di samping menjadi platform untuk menerima maklum balas daripada masyarakat bagi tindakan lanjut oleh agensi-agensi yang berkenaan.

 

Penyertaan USMS dalam program ini adalah sebahagian daripada usaha syarikat dalam mempertingkatkan komunikasi dan kefahaman masyarakat mengenai perkhidmatan berkaitan bekalan utiliti serta mendekati keperluan dan kebimbangan pengguna secara langsung.

 

Yang Mulia Awang Masburah bin Suhaile, Ketua Kampung Birau, Luagan Timbaran dan Kebia turut hadir dalam program tersebut bersama ahli-ahli Majlis Perundingan Kampung dan Warga kampong dari ketiga-ketiga kawasan berkenaan, sekaligus menunjukkan sokongan yang tinggi terhadap usaha berterusan dalam menyampaikan maklumat dan mendengar suara rakyat.

 

Antara pertanyaan yang diketengahkan oleh warga tempatan mengenai USMS ialah:

“Apakah tindakan pihak USMS bagi memastikan warga-warga emas yang kurang menggunakan IT dapat melalukan top-up bagi meter elektrik dan air mereka?”

Sebagai respons, wakil USMS, Yang Mulia Mohammad Nabil Fikri bin Begawan Mudim Haji Suhaili selaku Penolong Pengurus korporat menjelaskan bahawa syarikat telah menyediakan kemudahan pembelian top-up melalui kedai-kedai runcit yang berdaftar sebagai e-Dealer di keempat-empat daerah. Ini adalah bagi memastikan golongan warga emas yang kurang mahir menggunakan teknologi maklumat turut mempunyai akses mudah untuk membuat tambah nilai (top-up), selain daripada menggunakan aplikasi mudah alih USMS yang sedia ada.

 

USMS komited untuk terus mendekati masyarakat dan memastikan setiap lapisan penduduk tidak tercicir dalam mendapatkan perkhidmatan yang disediakan.

 

Sumber gambar dari Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri